Panduan ku.

Friday 8 April 2011

GERADUAN DISARAN JADI USAHAWAN.


NILAI 17 Feb. - Para graduan disarankan supaya menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan memandangkan peluang yang luas telah disediakan oleh kerajaan.
Menteri Besar, Datuk Mohamad Hasan berkata, generasi muda hari ini harus merebut peluang tersebut demi melahirkan lebih banyak ahli perniagaan yang berjaya.
''Kita lihat bagaimana kebanyakan daripada mereka yang berjaya adalah ahli perniagaan, mereka juga seorang yang sangat berjaya untuk negara dan masyarakat melalui sumbangan yang dihulurkan termasuk zakat.
''Jika anda semua ingin menjadi kaya dan berbakti kepada masyarakat, bidang perniagaan adalah jalannya. Jangan berharap untuk kaya jika anda ingin makan gaji saja," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penutup Konvensyen Keusahawanan Islam (ICEPS 2008) anjuran Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Dewan Kuliah Pusat 4 USIM di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Datuk Dr. Muhamad Muda dan Timbalan Naib Canselor (HEP & Alumni), Prof. Datuk Dr. Mohamed Asin Dollah.
Menurut Mohamad, kerajaan di peringkat Pusat mahupun negeri senantiasa membuka ruang kepada mereka untuk bergelar ahli perniagaan terutama dalam bentuk insentif dan projek-projek kerajaan.
''Sebagai contoh tahun lepas saja, kerajaan negeri mengeluarkan projek-projek kecil bernilai RM125 juta itu tidak termasuk daripada kerajaan Persekutuan. Peluang-peluang seperti ini harus disambar oleh usahawan muda seperti anda apabila tamat pengajian kelak," jelas beliau.
Pada masa yang sama, kata Mohamad, pelajar terutama yang berada dalam jurusan perniagaan harus menuntut ilmu dan mempelajari prinsip perniagaan serta ekonomi sebaik mungkin.
''Berniaga bukan saja memerlukan modal tetapi juga kepakaran dan ilmu. Ini masa untuk pelajar semua mendalami ilmu perniagaan kerana kita memerlukan pakar seperti anda," katanya.
Konvensyen tiga hari itu selain menganjurkan seminar turut menghimpunkan lebih 300 usahawan dari seluruh negeri yang mengadakan gerai dan pameran keusahawanan dalam usaha mendedahkan pelajar terbabit dalam bidang perniagaan.
sumber utusan Malaysia 18 Februari 2008

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... Ada kelapangan boleh singgah ke kedai saya: KedaiNam369.blogspot.com