Panduan ku.

Tuesday 26 April 2011

JUJUR DALAM BERNIAGA.


Kejujuran amat penting dalam kehidupan kita seharian. Terutama sekali dalam bidang perniagaan. Tanpa kejujuran, setiap kerja yang kita lakukan tidak akan mendatangkan hasil yang memuaskan hati kita. Mungkin juga akan menyebabkan kita menemui jalan penyelesaian yang buntu atau jika ia berjaya sekalipun, kejayaan itu hanya bersifat sementara sahaja.

Seandainya kita jujur dalam berniaga, tidak dinafikan kita dapat menarik pelanggan untuk berurusan dengan kita. Ini kerana kita telah diberi kepercayaan untuk urusan jual beli. Di dalam sejarah Nabi Muhammad SAW disebutkan bahawa beliau adalah orang yang paling berhasil dalam memperdagangkan barang-barang Khadijah berbanding dengan kawan-kawan perdagangan yang lain. Kunci kejayaan baginda tentulah hasil dari kejujuran baginda dalam urusan perniagaan. Bukankah baginda amat dikenali dengan gelaran Al-Amin yang bermaksud “yang jujur dalam setiap perkara”. Baginda tidak pernah cuba untuk menipu barang dagangan, dan disebabkan sifatnya itulah hasilnya amat memuaskan. Berdagang adalah antara usaha manusia untuk mencari rezeki di muka bumi ini.

Sesungguhnya kita diwajibkan untuk keluar mencari rezeki. Sabda Rasulullah SAW :
“Wahai sekalian manusia, takutlah kepada Allah. Dan carilah rezeki dengan cara yang baik. Kerana sesungguhnya seseorang itu tidak akan mati sebelum sempurna rezekinya meskipun lambat daripadanya. Maka takutlah kalian kepada Allah. Dan carilah rezeki dengan cara yang baik.
"Ambillah yang halal dan tinggalkan yang haram.”

(HR Ibnu Majah, Al-Hakim dari Jabir)

Yang dimaksudkan dengan mencari rezeki yang baik ialah dengan menghindarkan diri daripada melakukan tatacara berniaga yang ditetapkan oleh Allah SWT. Peniaga tidak boleh menimbunkan barang dagangannya ketika ekonomi sedang meleset kerana pada saat itu semua orang memerlukan barang yang ditimbunkan. Peniaga tidak boleh untuk menyembunyikan barang dagangannya yang buruk dengan barang dagangan yang baik mutunya. Mereka juga tidak boleh untuk memuji-muji barang dagangan mereka sahaja yang baik.

Selain itu tidak boleh untuk mengurangkan timbangan atau takaran dalam menimbang atau menakar dagangannya. Selain itu banyak lagi perkara yang tidak boleh dilakukan dalam berniaga walaupun ianya membawa keuntungan yang besar. Kerana keuntungan itu tidak membawa sebarangan atau manfaat kepada peniaga itu kerana ia diperolehi dari jalan yang tidak halal. Jadi samalah seperti perumpamaan, membuka gedung di tengah lautan.

Pada suatu hari, Rasulullah SAW masuk ke dalam pasar. Di dalam pasar itu beliau berjumpa dengan seorang penjual makanan. Alangkah terkejutnya baginda apabila beliau melihat makanan yang begitu elok itu. Baginda mendekati peniaga tersebut dan memasukkan tangannya ke dalam bakul makanan itu bagi menguji kebaikkannya. Tiba-tiba baginda mendapati bahagian dalamnya basah.
Baginda bersabda : “Kenapakah ini?”
Peniaga itu menjawab : “Ia terkana hujan”
Maka baginda bersabda lagi : “Mengapa tidak kamu letakkan di atas agar dapat dilihat oleh pembeli? Ingatlah, barangsiapa yang melakuakan tipuan, tidak termasuk dalam golongan kami.”
Peniaga yang ditemui oleh Rasulullah itu bertindak tidak jujur dalam menjalankan perniagaannya kerana meletakkan makanan yang tidak elok di sebelah bawah agar tidak dilihat oleh pembeli. Perbuatannya ini boleh menyebabkan pembeli mengalami kerugian kerana dalam prinsip jual beli, prinsip asasnya adalah di antara kerelaan pembeli dan peniaga. Kerelaan akan timbul apabila kedua belah pihak berlaku jujur dengan mengakui barangan dagangan itu benar-benar sesuai dengan keadaan.

Rasulullah bersabda yang bermaksudnya :
“Barangsiapa mengangkat pedang melawan kami, maka ia tidak termasuk dalam golongan kami. Dan barangsiapa yang memalsukan kami ( dalam jual beli) maka tidaklah masuk dalam golongan kami.”
( HR. Muslim dari Abu Hurairah.)




Tidak dapat kita nafikan dalam dunia perniagaan akan berlaku penyelewengan dan banyak ragamnya. Ada ketikanya seorang peniaga itu akan mencampurkan barang dagangannya yang bermutu tinggi dengan yang bermutu rendah. Ada juga dikalangan peniaga yang sanggup untuk melakukan sumpah palsu bagi melariskan barang dagangannya. Terdapat juga peniaga yang gemar mengurangkan berat timbangannya.
Terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh An-Nasa’I dan Ibnu Majah, ada disebutkan bahawa ketika Rasulullah sampai ke Madinah telah
baginda ketahui bahawa penduduknya gemar mengurangkan timbangan dan takaran. Disebabkan ingin membetulkan keadaan, maka baginda tidak
berputus asa untuk membetulkan keadaan di situ sehinggalah turun ayat dari Surah Al-Mutaffifiin, ayat 1-3 sebagai ancaman kepada orang- orang yang tidak betul dalam membuat timbangan.
Maksudnya :
“ Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam pertimbangan).”
“ Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang-cupak) dari orang mereka mengambilnya cukup.”
“ Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.”
(Surah Al-Muyaffifiin :1-3)


Setelah ayat ini turun, orang-orang Madinah jujur dalam melakukan timbangan dalam berniaga.
Para peniaga yang tidak berbudi akan cuba mengaut keuntungan dengan sewenang-wenangnya. Rasulullah sentiasa menganjurkan agar menjadi peniaga yang jujur dan benar. Sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud :
“ Pedagang yang benar dan terpercaya itu bersama-sama para nabi, orang-orang yang benar dan para syuhada.”
(HR.At.Tarmidzi)


Dipetik dari http://whizteenz.tripod.com/pengajaran/jujur dalam berniaga.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... Ada kelapangan boleh singgah ke kedai saya: KedaiNam369.blogspot.com